Karangan Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Bulan Membaca Peringkat Sekolah

Terima kasih diucapkan kepada Pengerusi Majlis. Yang Berusaha Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia Jaya, para guru dan rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak kerana memberi peluang kepada saya selaku Ketua Murid untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam majlis pelancaran Bulan Membaca.

Para hadirin sekalian,

Tidak dinafikan bahawa setiap tahun, sekolah di seluruh negara akan meraikan sambutan Bulan Membaca. Amalan membaca ini sangat penting kerana Bahasa Jiwa Bangsa. Kajian telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia kurang minat untuk membaca pada waktu lapang berbanding menggunakan alat permainan elektronik. Statistik yang dikeluarkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia menunjukkan bahawa rakyat Malaysia secara purata hanya membaca dua buah buku setahun. Oleh yang demikian, semua pihak perlu berganding bahu menggembleng tenaga dan buah fikiran untuk menggalakkan minat membaca dalam kalangan murid kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Para Hadirin yang dihormati,

Pada pandangan saya, kita harus membaca bahan-bahan yang mendatangkan manfaat. Sebagai contohnya, buku rujukan, ensiklopedia dan sebagainya. Hal ini demikian kerana bahan-bahan yang berbentuk hiburan seperti komik lawak jenaka sudah pasti akan melalaikan kita. Tambahan pula, terdapat juga bahan bacaan yang mengandungi anasir negatif seperti unsur keganasan dan pornografi. Oleh itu, wajarlah untuk kita berkunjung ke mana-mana perpustakaan atau pameran buku untuk memilih buku yang berfaedah. Kesannya, ini akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita kerana kita dapat mempelajari ilmu pengetahuan yang tidak terkandung dalam buku teks yang diajar di sekolah.

Seterusnya, kita dapat mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang dipelajari dalam kehidupan seharian. Peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa sikap bagai katak di bawah tempurung tidak akan pergi ke mana-mana. Sudah terang lagi bersuluh, bulan membaca merupakan suatu wadah untuk memupuk minat membaca dikalangan para murid. Murid-murid akan terlibat dalam pelbagai aktiviti bahasa di sekolah. Dalam hal ini, murid-murid akan berusaha untuk menjayakan aktiviti yang diatur oleh pihak sekolah dengan mengambil bahagian dalam pertandingan bahasa yang dianjurkan seperti pertandingan NILAM, pertandingan Bahas Ala Parlimen dan lain-lain. Dalam pada itu, pihak sekolah hendaklah menawarkan hadiah yang menarik dan lumayan dalam usaha untuk menarik minat murid-murid menyertai mana-mana aktiviti yang dianjurkan. Pihak sekolah juga patut mengadakan program membaca selama 10 minit semasa perhimpunan mingguan. Natijahnya, semua warga sekolah akan berganding bahu untuk mengelolakan pertandingan berkenaan. Perkara ini bersesuaian dengan peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Baca: Rumi – Doa Agar Selamat Daripada Fitnah dan Penawar Sihir

Para Hadirin yang dihormati,

Selain itu, pameran buku akan diadakan selama sebulan di sekolah kita. Pihak sekolah telah mempelawa pengedar-pengedar buku datang ke sekolah untuk membuat pameran. Di samping itu, pengedar buku akan mengadakan promosi jualan pada harga istimewa. Impaknya, murid-murid dapat membeli buku yang digemari dengan potongan harga yang jauh lebih murah berbanding pasaran. Tambahan pula, rasa cinta dan sayang akan buku dapat dilahirkan dalam hati Nurani murid-murid. Perkara ini bertepatan dengan maksud cogan kata Membaca Jambatan lImu.

Akhir kata, kepentingan membaca merupakan sesuatu yang tidak dapat disanggah lagi. Semua pihak perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk memupuk minat membaca dalam kalangan remaja kerana Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya. Hakikatnya, bahasa Melayu akan terus dimartabatkan kedudukannya di bumi yang bertuah ini. Slogan, “Malaysia Boleh,” haruslah dijadikan pegangan untuk merealisasikan hasrat murni ini.

Sekian, terima kasih.