Karangan Ucapan Perpisahan Pelajar Tingkatan 5

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis. Yang Berusaha Tuan Haji Wan Zack Haikal bin Alami, Pengetua SMK Taman Koperasi Ceupek, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Subramaniam A/L Pandia, guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan sekalian. Pertamanya, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur kerana telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk mewakili rakan-rakan tingkatan lima bagi menyampaikan ucapan dalam majlis yang begitu bermakna kepada kami.

Hadirin yang dikasihi,

Tanpa usaha keras daripada semua ahli jawatankuasa penganjuran program, maka majlis perpisahan ini tidak mungkin akan dapat dilaksanakan. Oleh itu, sekali lagi saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa yang berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi merealisasikan program perpisahan ini. Antara usaha yang menjadi kekaguman kami ialah usaha yang dijalankan untuk mengutip dana bagi menyediakan hadiah dan cenderamata. Tambahan pula, khidmat nasihat daripada tuan pengetua sering dijadikan panduan dan rujukan untuk menjayakan program ini. Kesannya, maka wujudlah sikap tolong-menolong dan hubungan silaturahim antara ahli. Hakikatnya, kami sentiasa bekerjasama, seperti kata orang tua-tua, hidup sandar-menyandar bagai aur dengan tebing.

Warga sekolah yang saya kasihi,

Segala apa yang berlaku selama lima tahun kami di sekolah ini akan tetap menjadi nostalgia yang terindah. Semua nostalgia yang dikutip di sini telah terakam dalam sebuah sejarah peribadi. Pelbagai kerenah dan tingkah laku alam remaja telah kami catatkan. Seterusnya, belajar dan berusaha telah menjadi asam garam bagi setiap murid di sekolah ini. Kejayaan telah kami lakarkan untuk imej dan nama baik sekolah. Yang menjadi kebanggaan ialah kejayaan kami mengharumkan nama sekolah di pentas akademik dan kokurikulum. Bak kata pujangga, guru dan murid ibarat lirik dan melodi, pincang salah satu tempanglah kedua-keduanya.

Baca: Karangan Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Bulan Membaca Peringkat Sekolah

Hadirin yang dikasihi,

Guru merupakan penyuluh hidup yang sentiasa membawa sinar harapan kepada kita. Hal ini berlaku kerana pelbagai perbezaan perwatakan yang kita terima daripada guru. Ada yang tergores kerana ditegur dan dirotan kerana kita berbuat salah. Oleh itu, kita perlu menanamkan rasa hormat dan sayang yang tidak berbelah bahagi kepada mereka. Sebagai alumni, kita juga hendaklah sentiasa mengenang dan menghargai jasa guru yang tidak ternilai ini. Seyogia, janganlah kita bersikap seperti kacang lupakan kulit apabila keluar dari sekolah ini.

Warga sekolah sekalian,

Majlis perpisahan yang diadakan ini sedikit sebanyak memberi seribu satu makna dan kenangan yang tidak akan dilupakan. Bagi seseorang guru, murid merupakan jantung dan hati mereka. Jika berkesempatan, kita harus sentiasa menghubungi guru dengan bertanya khabar.

Seterusnya, kita hendaklah memberikan komitmen jika tenaga dan buah fikiran kita diperlukan oleh sekolah ini.

Akhir kata, setiap perjumpaan dan perpisahan menjadi lumrah kehidupan manusia. Sebelum saya mengundur diri, sekali lagi kami memohon ampun dan maaf sekiranya ada salah dan silap sepanjang pembelajaran selama lima tahun ini.

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti,
Kalau ada salah sepatah,
Jangan disimpan di dalam hati.

Sekian, terima kasih.