Karangan Ucapan Langkah Menangani Mengurangkan Kemalangan Jalan Raya

Assalamualaikum dan Salam Malaysia Madani. Terima kasih saya ucapankan kepada Tuan Pengerusi Majlis. Yang Berusaha Hajah Sharlinie Sukiman, Pengetua Sekolah Menengah Seri Sepadu, guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan sekalian. Pertamanya, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak sekolah kerana sudi mempelawa saya untuk menyampaikan ucapan pada hari ini.

Warga sekolah sekalian,

Mutakhir ini, peningkatan jumlah kemalangan jalan raya amat membimbangkan pelbagai pihak. Punca utama kemalangan ini berlaku antara lain kerana sikap negatif pemandu yang memandu secara berbahaya dan tidak mematuhi peraturan jalan raya. Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan? Sikap sudah terhantuk baru hendak tengadah boleh menyebabkan kita akan menyesal pada kemudian hari. Oleh itu, saya akan mengemukakan beberapa cadangan untuk menangani masalah kemalangan jalan raya.

Baca: Karangan Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Bulan Membaca Peringkat Sekolah

Warga dewan yang dihormati,

Langkah utama yang boleh dicadangkan ialah undang-undang jalan raya yang lebih ketat dan berat haruslah dilaksanakan. Hal ini dikatakan kerana pada hemat saya, undang-undang sedia ada masih longgar dan terdapat kelompongan yang boleh diperbaiki. Contohnya, pesalah jalan raya masih mampu untuk membayar saman. Oleh itu, pihak kerajaan perlu lebih tegas untuk memperkasakan peraturan serta penguatkuasaan undang-undang jalan raya. Mungkin, pesalah jalan raya boleh dikenakan Tindakan gantung lesen memandu dan hukuman penjara bagi kes-kes berat yang melibatkan nyawa. Kesannya, undang-undang yang berat ini akan memberikan keinsafan dan sikap berhati-hati dikalangan pengguna jalan raya. Akhirnya, slogan, ‘Pandu Cermat Jiwa Selamat,’ dapat disemai dalam kalangan pemandu.

Hadirin sekalian,

Usaha kedua yang ingin saya utarakan ialah kempen kesedaran kepada masyarakat khususnya pengguna jalan raya. Kempen seumpama ini perlu dilakukan kerana tahap kesedaran pengguna jalan raya masih rendah atau pemandu bersikap acuh tidak acuh sahaja. Pihak berkaitan seperti media massa, media cetak dan media elektronik digalakkan untuk menyiarkan program atau dokumentari khas tentang impak nahas kemalangan. Seterusnya, pihak berwajib juga hendaklah mengadakan siri ceramah kesedaran kepada masyarakat dengan memberikan fokus akan kesan buruk kecelakaan jalan raya. Implikasinya, kempen ini sekurang-kurangnya dapat memberikan rasa tanggungjawab kepada dikalangan para pemandu untuk lebih berhemah dan bertanggungjawab. Sesungguhnya, kempen seumpama ini perlu dilaksanakan sejak awal lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Warga sekolah yang dikasihi,

Cadangan yang ketiga ialah peranan ibu bapa untuk mengawasi dan menasihati anak-anak untuk menjauhi kegiatan lumba haram. Hal ini kerana, anak-anak muda lebih mudah terdedah dengan dengan gejala lumba haram, khususnya pada waktu malam mahupun hujung minggu. Oleh yang demikian, ibu bapa perlulah memantau aktiviti anak-anak supaya mereka tidak terlibat dengan kegiatan lumba haram ini. Seterusnya, ibu bapa mestilah mengawasi anak-anak supaya tidak juga berkawan dengan rakan yang terlibat dengan gejala negatif. Tindakan ibu bapa yang proaktif ini secara langsung membolehkan anak-anak menjauhi perbuatan yang merugikan diri, keluarga dan masyarakat. Benarlah kata orang tua, hargailah nyawa diri sendiri dan orang sekeliling untuk membentuk akhlak anak-anak yang baik, berguna dan mulia.

Warga dewan sekalian,

Tuntasnya, sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa kemalangan jalan raya akan mendatangkan banyak impak negatif kepada kehidupan mangsa. Oleh sebab itu, pemandu perlu mengamalkan sikap berhemah tatkala memandu dan mematuhi peraturan jalan raya dan tidak menjadi seperti kata peribahasa sudah basah kehujanan. Hakikatnya, kita perlu menjadikan kemalangan yang berlaku ini sebagai iktibar untuk kehidupan yang lebih bermakna. Sekian, terima kasih.