Karangan Syarahan – Usaha Memajukan Industri Pelancongan Malaysia

Assalamualaikum dan Selamat sejahtera saya ucapkan. Yang Dihormati Puan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Puan Mariam binti Haji Karim, Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Utara, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi. Pada pagi yang ceria ini, saya ingin menyampaikan syarahan yang bertajuk “Usaha untuk Memajukan Industri Pelancongan Malaysia”.

Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia merupakan negara yang Sejahtera, indah, aman dan sentosa. Sehubungan dengan itu, banyak tempat pelancongan di negara ini dibuka seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Sebagai contoh, Tanah Tinggi Cameron, Pulau Mabul, Pulau Dugong, Pulau Langkawi, Melaka Bandaraya Bersejarah dan sebagainya. Kepelbagaian budaya dan tradisi bukan sahaja menjadikan Malaysia sebagai syurga makanan, malahan menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai adat resam yang berwarna-warni. Sesungguhnya, pelbagai inisiatif harus dilakukan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Warga dewan sekalian,

Saya berpandangan, destinasi pelancongan yang berpotensi harus terus dimajukan. Hal ini demikian kerana pelbagai destinasi yang menarik untuk melancong ada di Malaysia. Sebagai contoh, Gunung Kinabalu yang merupakan gunung yang tertinggi di Asia Tenggara. Dalam hal ini, kerajaan perlu mengenal pasti tempat-tempat pelancongan yang baru dan menarik. Kerajaan juga wajar menambah infrastruktur di destinasi pelancongan seperti tempat penginapan dan kemudahan pengangkutan awam.

Selanjutnya, kerajaan patut membaik pulih bangunan bersejarah seperti Kota A Famosa serta Rumah Agam Peranakan Pulau Pinang. Natijahnya, bangunan tersebut dapat dipelihara dengan baik dan tidak akan kelihatan usang. Sementara itu, tempat yang amat indah dan menarik ini dapat kita nikmati bersama yang tersayang. Ha ini bersesuaian dengan peribahasa kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Hadirin sekalian,

Selain itu, kerajaan harus sentiasa mempromosikan sektor pelancongan negara dalam usaha untuk menggalakkan lebih ramai pelancong asing datang ke negara kita. Hal ini berpunca daripada jumlah kehadiran pelancong asing ke negara kita masih belum cukup ramai berbanding dengan negara lain khususnya Thailand. Oleh yang demikian, kerajaan wajar untuk menjalankan promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik di Malaysia melalui pelbagai medium termasuk media sosial. Tambahan pula, kerajaan patut menganjurkan Tahun Melawat Malaysia, Fiesta Kebudayaan, Rumah Terbuka dan Citrawarna Malaysia.

Kerajaan juga boleh menjemput para artis tersohor sebagai duta pelancongan. Ini bagi membolehkan pelancong asing dapat memperoleh maklumat yang tepat tentang destinasi pelancongan menarik seperti keunikan tempat, kos pelancongan, aktiviti yang boleh dilakukan serta kemudahan yang disediakan. Peribahasa Melayu ada menyebut bahawa genggam bara api biar sampai jadi arang dan ia haruslah dijadikan pegangan.

Kerajaan juga wajar untuk memperkenalkan produk pelancongan baru agar dapat mewujudkan kepelbagaian dalam industri pelancongan negara. Produk hiliran pelancongan wajar diterokal oleh semua pihak yang terbabit. Dalam hal ini, kerajaan patut mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempatan yang kaya dengan budaya dan tradisi adat resam. Di samping itu, ekopelancongan di negara kita wajar dikembangkan dengan mewujudkan lebih banyak rumah inap untuk mewujudkan kepelbagainya kemudahan serta daya tarikan. Seterusya, pendapatan sektor pelancongan dapat ditingkatkan dan seterusnya ekonomi negara dapat dijana. Benarlah kata orang tua-tua kalau tak kenal maka tak cinta.

Sebagai kesimpulan, Malaysia mampu menjadi salah sebuan negara destinasi pelancongan yang popular dan terkenal. Semua pihak hendaklah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk membantu memajukan lagi sektor pelancongan. Hakikatnya, usaha yang jitu akan dapat menonjolkan nama Malaysia sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di seantero dunia.

Sekian, terima kasih.