Contoh Ucapan Majlis Perpisahan Guru

Contoh Karangan Majlis Perpisahan / Persaraan Guru

Yang saya hormati Puan Pengerusi Majlis, yang diraikan Cikgu Norfariza binti Aiman, Guru Penolong Kanan Ehwal Akademik, para guru yang dikasihi dan rakan pelajar sekalian. Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan sekalian kerana sudi memberi peluang kepada saya selaku ketua kelas bagi menukilkan kata-kata sempena hari persaraan guru Tingkatan Empat Cekap. Bagi pengetahuan rakan sekalian, persaraan Cikgu Norfariza akan berkuat kuasa esok. Hari ini merupakan hari terakhir beliau di sekolah ini.

Saya mewakili rakan-rakan yang lain berasa dukacita atas persaraan Cikgu Norfariza. Apatah lagi, sudah terang lagi bersuluh, beliau merupakan guru Tingkatan Empat Cekap yang amat kami hormati dan kasihi. Untuk rekod, beliau telah berkhidmat sebagai seorang guru selama 35 tahun dan telah berkhidmat di sekolah ini selama 17 tahun. Dengan tempoh masa mengajar yang begitu panjang, sudah tentu beliau mempunyai seribu satu pengalaman indah.

Rakan seperjuangan sekalian,

Cikgu Norfariza merupakan seorang Guru Pakar Sejarah di sekolah kita yang turut tersohor namanya di peringkat daerah dan negeri. Pengalaman dan ilmu pengetahuan beliau dalam bidang Sejarah sering dikongsikan dengan guru-guru lain. Bagi beliau apalah gunanya kemenyan disimpan sebesar tungku, kalau tidak dibakar. Selama 12 tahun beliau telah menjadi ketua pemeriksa bagi subjek Sejarah untuk Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Secara langsung, beliau telah menjadi nadi utama dan sumber inspirasi kepada semua pelajar dalam bidang Sejarah di sekolah ini. Oleh itu, sedikit sebanyak persaraan beliau akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam kalangan pelajar. Sebagai anak didik beliau, saya dengan tulus ikhlas menganggap pemergian beliau merupakan suatu kehilangan kepada kami semua mahupun kepada sekolah. Pepatah ada mengatakan, patah tumbuh bilang berganti, namun begitu yang menggantikan pastinya tidak sama.

Baca: Koleksi Doa Selamat – Ringkas Lengkap

Para hadirin semua,

Cikgu Norfariza juga merupakan guru contoh yang tidak ada tolok bandingnya. Ramai anak didik beliau telah menjejaki menara gading dan ada antaranya telah menjadi tokoh korporat yang berjaya. Kebijaksanaan beliau dalam mewujudkan suasana ceria semasa pembelajaran telah menarik minat pelajar untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran. Kadang-kadang kami juga tidak kering gusi dengan telatah lucunya yang kerap mengajukan teka-teki kepada pelajarnya. Pada peringkat awal, kami agak pelik memikirkan sebab beliau kerap mengajukan teka-teki, namun akhirnya kami sedar bahawa tindakan beliau adalah untuk membiasakan kami berfikir kerana jika kita ingin memahami sejarah, kita perlu senantiasa berfikir.

Kemesraan dan ketokohan beliau sebagai seorang pendidik membuatkan kami sukar untuk melupakan jasanya. Sepanjang berada di sini, Cikgu Adnan begitu aktif dalam sukan badminton sekolah kita. Dengan pengorbanan beliau melatih dan memberi tunjuk ajar tentang teknik permainan hoki kepada para pelajar, tidak hairanlah Sekolah Menengah Dengkil 2 ini telah menjadi johan selama empat tahun berturut-turut di peringkat dearah dan dua tahun di peringkat negeri. Ramai anak didik beliau yang menjadi pemain kebangsaan yang terkenal umpamanya Ananda Krisnan dan Chong Wei Meng yang kini menjadi legenda pemain badminton negara.

Pengorbanan beliau amat kami sanjungi. Kami pernah bersama-sama beliau pulang ke rumah pada pukul 11.30 malam sebaik-baik habis latihan di sekolah, namun beliau tidak pernah mengeluh kerana bagi beliau alang-alang berminyak biar licin. Beliau sememangnya seorang yang komited dengan tugas yang diamanahkan. Bak kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Kami amat mengharapkan beliau akan terus menjalani kehidupan yang aman, damai dan bahagia selepas bersara nanti. Sebelum saya mengundurkan diri, saya mengucapkan selamat bersara kepada cikgu yang tersayang.

Sekian terima kasih.