Contoh Karangan Syarahan – Kebaikan Penggunaan Media Sosial

Yang Dihormati Puan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan. Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan. Tajuk syarahan yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah “Kebaikan Penggunaan Media Sosial”.

Hadirin yang dihormati,

Penggunaan media sosial melalui Internet telah menjadi tersohor seantero dunia termasuklah di Malaysia. Jaringan media sosial yang terbesar antara lain ialah Facebook, Instagram, TikTok dan X. Penggunaan media sosial ini seakan-akan tidak dapat dikawal kerana remaja sanggup nenghabiskan masa melayani rakan-rakan alam maya. Namun penggunaan media sosial ini ada faedahnya jika digunakan dengan cara yang betul. Sejauh mana penggunaan media sosial ini mendatangkan kebaikan kepada pengguna akan saya bincangkan satu per satu.

Hadirin sekalian,

Hujah saya yang pertama ialah interaksi antara pengguna menjadi lebih mudah. Hal ini demikian kerana ruangan dalam media sosial boleh dipaparkan dan dimuatkan pelbagai maklumat tentang biodata diri. Sebagai contoh, kita boleh memaparkan maklumat diri, seperti kepakaran, kelulusan, pekerjaan, hobi dan gambar-gambar pengenalan diri. Dengan adanya maklumat sebegini, maka sudah pasti kita boleh mencari kenalan lama atau rakan yang sudah lama tidak bertemu. Seterusnya, semua maklumat tentang aktiviti rakan-rakan juga dapat dikongsi bersama. Maka benarlah kata orang tua-tua hidup sandar menyandar bagai aur dengan tebing dapat diwujudkan melalui media sosial.

Hadirin sekalian,

Hujah saya yang kedua ialah aktiviti perniagaan dapat dijalankan dengan mudah. Saya berkata demikian kerana laman media sosial boleh dijadikan sebagai tempat untuk meluaskan empayar perniagaan seseorang. Buktinya, seseorang itu boleh mengiklankan produk barangan mahupun perkhidmatan masing-masing dalam ruangan tertentu dalam media sosial. Sementara itu, rakan-rakan mereka boleh mempromosikan barangan dan perkhidmatan itu kepada orang lain. Perniagaan seseorang itu boleh melangkah dengan lebih maju hanya dengan menggunakan medium media sosial. Kos pengiklanan, dan kos pengurusan juga dapat dikurangkan kerana media sosial ini kebanyakkannya percuma dan murah. Hakikatnya, perniagaan dalam laman sosial dapat membawa keuntungan yang lebih kepada para peniaga, umpama peribahasa sambil menyelam minum air.

Warga dewan yang saya hormati sekalian,

Hujah saya yang terakhir ialah media sosial boleh digunakan untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Buktinya, kini golongan pendakwah agama, penulis dan sasterawan menggunakan media sosial ini untuk menyebarkan ilmu pengetahuan masing-masing. Hasilnya, pengguna media sosial boleh bertukar-tukar pandangan dan idea untuk menambah ilmu pengetahuan yang dikehendaki. Seterusnya, perbincangan dan forum tentang sesuatu isu juga dapat dijalankan bersama-sama. Sebagai contohnya, laman Facebook agamawan, Ustaz Azhar Idrus telah mempunyai jutaan rakan yang berminat dalam bidang agama Islam. Kesannya, pengguna tidak akan menjadi seperti katak di bawah tempurung dalam membincangkan isu-isu semasa.

Hadirin yang dikasihi,

Sebelum saya mengakhiri syarahan ini, sekali lagi saya tegaskan bahawa kebijaksanaan amat penting dalam kita menggunakan kemudahan media sosial. Sesungguhnya, media sosial merupakan wadah terbaik dalam penyebaran ilmu semasa dan terkini untuk melahirkan warganegara yang berwawasan dan berketrampilan.

Sekian, terima kasih.